Sunday, February 14, 2010

Sambutan Maulidul Rasul

Dato Seri Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS hari ini sekali lagi membuat kejutan apabila mengumumkan Kelantan tidak akan menyambut Maulidul Rasul pada 26 Feb 2010 nanti. Kenyataan beliau seolah-olah memberi nafas lega kepada Lim Guan Eng yang pada 5 Feb 2010 yang lalu telah pun membatalkan perarakan Maulud Nabi peringkat negeri Pulau Pinang sebelum menarik balik arahan awal itu pada 12 Feb 2010.

Nampaknya LGE yang menyatakan hasrat untuk memerintah seperti Umar Abdul Aziz hampir 'tepat' dengan telahannya mengenai Maulud Nabi. Sayangnya Dato Nik Aziz lambat memberi sokongan kepada beliau - jika tidak harus arahan awal untuk tiada perarakan Maulud Nabi tidak akan ditarik balik.

Walau bagaimanapun, tarikh 26Feb masih lambat lagi - kalau LGE nak tarik balik arahan tarik balik beliau mengenai perarakan Maulud Nabi pun tiada salah lagi baginya kerana Dato Nik Aziz sendiri tidak akan sambut Maulud Nabi. Katanya, LGE masih akan adakan Perhimpunan Ummah sebagai ganti kepada perarakan itu.

Memanglah isu sambutan Maulud Nabi ini sudah lama dalam perbahasan orang Islam sendiri sejak kurun ke 8 di Mekah. Ada penyokong dan ada penentangnya! Namun, kalau kita kaji tujuan Salahuddin Al-Ayubi untuk memperingati hari kelahiran Rasulullah SAW, kita pasti akan memahami kebaikan Sambutan Maulud Nabi.

Sekarang ini kita sering memperingati pelbagai tarikh yang penting kepada kita sebagai individu, sebagai suami isteri, sebagai keluarga, sebagai organisasi, sebagai parti politik dan sebagai negara. Kita ada sambutan ulangtahun hari lahir, ulangtahun perkahwinan, ulangtahun penubuhan syarikat, ulangtahun pemerintahan, ulangtahun kemerdekaan dan sebagainya. Apakah salah bagi kita untuk kita memperingati Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW? Memanglah ada orang2 tertentu akan kata kita harus ingat Rasulullah setiap hari setiap saat - jadi buat apa kita adakan acara khas untuk itu?! Pada saya itu semua cakap orang pandai yang tak boleh diikut sebab hajat mereka hanyalah untuk membangkang - bangkang apa saja!

Kemelut orang Islam di Malaysia khasnya mula meruncing akhir2 ini - kes buang bayi, bunuh anak, bunuh mak bapak, tinggal amalan agama, keluar terus dari agama dan pelbagai fitnah lagi sedang melanda kita. Sekali sekala kita perlu kepada 'peringatan' - sudahlah dakwah yang hasanah dan hikmah jarang2 lagi kita dapati - sesuatu dakwah yang 'halus' seperti sambutan Maulud Nabi pun kita hendak tinggalkan, apa lagi yang ada untuk kita sebagai umat Islam di Malaysia?

Orang lain ada perarakan tokong dan tarian naga mereka - kita pula tumpang tengok dan meramaikan bersama. Bila sampai kepada acara kita sendiri kita ambil keputusan untuk sambut dalam 'hati' sahaja. Kerana ada ulamak kata Nabi tak sambut 'birthday' dia. Kalau nak kira apa yang Nabi tidak buat, tentu sudah banyaklah 'dosa' kita di dunia hari ini! Nabi tidak:-

i) naik kereta, bas, kereta api, kapal laut, kapal terbang
ii) guna telefon (rumah atau bimbit)
iii) tengok TV, video atau dengar radio
iv) pakai air-con, air paip atau lampu letrik
v) pergi sekolah, ofis atau berkoperasi
vi) pakai dapur gas, mikrowave atau peti ais

dan seribu macam lagi keperluan hidup yang kita telah guna tanpa rasa bersalah!

Nabi kita yang sampai ke akhir hayatnya masih mengingati umatnya dengan sebutan 'umati, umati, umati' - hari ini kita diberitahu bahawa tiada fadhilat dalam bulan Maulud dan lebih baik kita tidak menyambut Maulud Nabi!

Saya yang jahil ini ingin menyeru semua umat Islam di Malaysia marilah kita memperingati Maulud Nabi kerana Baginda sentiasa mengingati kita semasa hidupnya! Janganlah kita terlalu taksub dengan orang2 yang dipanggil ulamak kerana mereka juga hanya manusia biasa yang tidak semestinya betul sentiasa.

Ada satu hari setiap tahun dimana kita berpeluang untuk mengumumkan kepada dunia bahawa pada hari itu Nabi kita Muhammad SAW dilahirkan dan beliau telah merubah nasib kita semua dengan cahaya kenabiannya!

Selawat dan salam keatas Nabi kita Muhammad SAW serta kaum kerabat dan sahabatnya semua sekali! Semoga kita tergolong dikalangan orang2 yang mendapat syafaatnya di hari pembalasan kelak! Amin!


Untuk bacaan tambahan mengenai Maulud Nabi:

http://www.yussamir.com/2008/03/penerangan-ringkas.html